Wednesday, November 11, 2009

Sumber Keyakinan Diri - Sumber Pertama

Sudahkah anda senaraikan sekurang-kurangnya 5 kejayaan atau kenangan manis anda di masa lalu? Jika sudah, bagus. Anda ternyata bersungguh-sungguh mahu meningkatkan tahap keyakinan diri anda.

Langkah seterusnya ialah anda perlu imbas semula kenangan ini. Cari satu tempat yang tenang. Duduk dengan tenang dan imbas kembali kenangan ini semua. Jika anda seorang pelajar, boleh lakukan aktiviti ini sebelum mula belajar. Jika seorang pekerja, boleh lakukan aktiviti ini sebelum melakukan sesuatu yang mencabar keyakinan diri anda. (Jika anda lakukan selepas sembahyang lebih baik). Lihat semula kenangan ini semua seolah-olah anda sedang melihat satu tayangan gambar di dalam minda anda. Perkara yang paling penting anda harus capai dalam aktiviti ini ialah ‘anda perlu rasakan dengan jelas betapa seronoknya dan betapa hebatnya perasaan menjadi seorang yang berjaya’.

Semasa mengimbas kenangan itu juga, cuba rasakan betapa keyakinan diri anda sangat tinggi ketika mengecapi kejayaan itu. Contohnya, ketika anda berjaya menjadi pelajar cemerlang dengan mendapat keputusan yang sangat baik di dalam peperiksaan dulu, apakah yang anda rasa? Gembira? Teruja? Yakin? Hebat?

Teruskan berada di dalam perasaan itu semua buat seketika. Kemudian, dalam masa yang sama, cuba fikir begini, ‘kalau dulu boleh berjaya, maknanya aku pun orang yang hebat. Kalau dulu boleh berjaya, sekarang pun mesti sama boleh berjaya juga!’

Apa yang berlaku apabila anda lakukan aktiviti ini? Sebenarnya, apabila anda mengimbas kenangan kejayaan ini, anda sedang cuba mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Dalam satu masa, manusia hanya boleh meletakkan satu imej sahaja di dalam minda mereka untuk difokuskan. Maksudnya, jika anda sedang fokus kepada kegagalan lepas, imej kegagalan akan memenuhi minda anda. Jadi, imej kejayaan tidak akan berada di situ. Akibatnya, anda jadi resah, gelisah, bimbang setiap masa dan hilang keyakinan diri.

Sama juga, apabila anda kekalkan imej kejayaan, ia akan memenuhi minda anda dan imej kegagalan tidak akan ada di situ. Hasilnya, anda rasa lebih tenang, ceria dan yakin dengan kebolehan diri anda.

Seterusnya, saya akan terangkan apa yang boleh anda lakukan jika anda tidak ada banyak kenangan manis atau kejayaan di masa lepas.

No comments:

Post a Comment